
PUTRAJAYA : Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang mula berkuat kuasa hari ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 1.64 juta individu yang terlibat dalam ekonomi gig di negara ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, akta ini merangkumi pelbagai aspek penting seperti perlindungan hak pekerja, ketelusan dalam perjanjian perkhidmatan, larangan terhadap diskriminasi, keselamatan dan kesihatan pekerjaan, serta jaminan keselamatan sosial melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Malah katanya, akta ini turut menyediakan saluran penyelesaian pertikaian yang lebih teratur menerusi Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) dan Tribunal Pekerja Gig.
“Pekerja gig kini boleh berasa lebih yakin kerana akta ini menawarkan perlindungan perundangan yang menyeluruh.
“Dalam masa sama, mereka masih dapat mengekalkan fleksibiliti dalam pekerjaan, dan pelaksanaan Akta 872 tidak akan menjejaskan struktur ekosistem gig sedia ada”, katanya dalam sidang akhbar Akta Pekerja Gig 2025 yang diadakan di Menara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), di sini.
Tambah Ramanan, pendekatan tersebut diambil selepas Malaysia meneliti serta memahami amalan di peringkat antarabangsa, termasuk di Amerika Syarikat (AS), Singapura dan India, sebelum menggubal kerangka undang-undang khusus bagi memastikan perlindungan menyeluruh kepada pekerja gig.
Beliau juga menjelaskan pekerja gig ditakrifkan berdasarkan tiga kriteria utama iaituindividu tersebut mestilah warganegara Malaysia atau pemastautin tetap (PR); mereka perlu mempunyai perjanjian dengan entiti kontrak, sama ada melalui platform digital atau tanpa platform dan individu berkenaan menerima bayaran bagi setiap perkhidmatan yang diberikan.
“Contoh pekerja gig yang membuat perjanjian perkhidmatan dengan penyedia platform ialah pekerja e-hailing dan p-hailing, manakala pekerja gig tanpa platform merujuk kepada golongan dalam sektor lakonan, aktiviti perfileman serta muzik, terjemahan, kewartawanan dan lain-lain seperti disenaraikan di bawah jadual Akta 872.
“Saya ambil maklum ada pihak yang mempersoalkan tentang takrifan pekerja gig di dalam akta ini turut meliputi PR di Malaysia.
“Ingin saya tegaskan yang Akta 872 bukan cuma melindungi pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing sahaja, tetapi juga pekerja gig tanpa platform yang berada di dalam sembilan sektor perkhidmatan ini.” katanya.
Tambah beliau, pihaknya memberi jaminan tiada isu berbangkit yang mengatakan akta itu bertentangan dengan dasar dan perundangan kerajaan sedia ada.







