
PUTRAJAYA: Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 mencatat pencapaian terbaik dengan Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.42 berbanding 4.49 pada 2024.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, seramai 366,435 calon (94.29 peratus) layak menerima sijil dan terdapat peningkatan sebanyak 10,502 calon berbanding tahun sebelumnya.
“Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.28 peratus. Tahniah untuk semua usaha warga guru yang dizahirkan dalam keputusan SPM,” katanya dalam sidang media pengumuman keputusan SPM 2025 di sini hari ini.
Beliau menyifatkan pencapaian itu sebagai hasil usaha gigih guru serta keberkesanan inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) dalam menyediakan pendidikan yang inklusif dan berkualiti.
“Keputusan ini bukan sahaja memaklumkan pencapaian peperiksaan malah mencerminkan komitmen berterusan KPM untuk memastikan sistem pentaksiran negara dilaksanakan secara berintegriti, telus, diyakini selaras Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035,” katanya.
Mohd Azam berkata daripada keseluruhan 413,299 calon berdaftar, sebanyak 395,740 calon merupakan calon baharu yang mendaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran.
“Kehadiran calon sekolah KPM ialah sebanyak 348,400 daripada 353,432 manakala bilangan calon tidak hadir semua mata pelajaran ialah 5,032 berbanding 6,246 pada 2024.
“Angka ini menunjukkan penurunan sebanyak 1,214 calon yang menunjukkan keberkesanan pelbagai inisiatif dan intervensi dilaksanakan KPM dan pelbagai pihak berkepentingan,” katanya.
Katanya, bilangan calon memperoleh keputusan cemerlang (Gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran meningkat 3.55 peratus, iaitu daripada 13,827 calon pada 2024 kepada 13,779 calon pada 2025.
“Bilangan yang memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau gred C bagi semua mata pelajaran ialah 92,347 calon pada 2025 berbanding 86,040 pada 2024 manakala 141,728 calon memperoleh sekurang-kurangnya lulus atau gred E dalam semua mata pelajaran berbanding 136,791 pada 2024,” katanya.






