
SHAH ALAM : Ekonomi Malaysia dijangka terus berada pada landasan pertumbuhan positif apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjur meningkat sekitar 4 hingga 5 peratus pada 2026 dipacu kekuatan perbelanjaan isi rumah, aliran pelaburan yang semakin direalisasikan, perkembangan eksport yang konsisten serta momentum sektor pelancongan yang kekal stabil.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, berkata negara memasuki tahun 2026 dengan asas ekonomi yang kukuh disokong permintaan domestik yang berdaya tahan, kadar inflasi yang terkawal serta sistem kewangan yang stabil, walaupun persekitaran global masih mencabar dan tidak menentu.
“Dari sudut pemacu pertumbuhan, perbelanjaan isi rumah kekal sebagai tonggak utama. Prospek pendapatan adalah positif, disokong oleh peningkatan pendapatan yang berterusan.
“Pasaran buruh juga kekal stabil, dengan kadar pengangguran dijangka berada berhampiran paras terendah dalam tempoh sedekad iaitu sekitar 2.9 peratus. Pada masa sama, pelbagai dasar bersasar terus dilaksanakan bagi membantu golongan memerlukan,” katanya pada sidang media Dialog Tahunan BNM di Sasana Kijang, Kuala Lumpur, hari ini.
Tambah Abdul Rasheed, sektor luaran dijangka kekal berdaya tahan walaupun berdepan tekanan daripada konflik Asia Barat serta ketidaktentuan berkaitan tarif perdagangan.
“Bagi pelaburan, perkembangan adalah menggalakkan apabila kelulusan pelaburan meningkat kepada RM427 bilion pada tahun 2025 manakala kadar pelaksanaan projek pembuatan kekal tinggi sekitar 85 peratus.
“Dasar yang jelas, insentif pelaburan, pelbagai rantaian bekalan infrastruktur kukuh serta tenaga kerja berkemahiran tinggi terus menjadi faktor tarikan utama pelabur. Pengembangan kapasiti sektor swasta kini semakin rancak, khususnya dalam industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta elektrik dan elektronik (E&E),” katanya.
Katanya, kemajuan di bawah pelan induk nasional serta pelaburan awam berskala besar termasuk dalam tenaga boleh baharu dan pengangkutan akan terus memperkukuh kapasiti produktif negara pada masa hadapan.
“Dari segi perdagangan, pertumbuhan eksport sebenar dijangka sederhana pada kadar 2.8 peratus berikutan persekitaran luaran yang mencabar.
“Namun, Malaysia mempunyai asas eksport pelbagai tanpa kebergantungan kepada satu pasaran sahaja.
“Negara juga mengeksport pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan daripada komoditi hingga perkhidmatan berteknologi tinggi,” katanya lagi.






