
SHAH ALAM: Kementerian Pengangkutan memaklumkan Malaysia kini berada dalam mod krisis susulan konflik di Asia Barat yang semakin memuncak dan memberi kesan kepada kos tenaga global.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, Kabinet pagi ini sudah diberi taklimat mengenai situasi semasa, termasuk peningkatan kos tenaga melebihi 100 peratus sepanjang bulan lalu, sekali gus menunjukkan tahap keseriusan yang tidak boleh dipandang ringan.
Beliau berkata, walaupun kesan penuh masih belum dirasai di negara ini, rakyat Malaysia perlu bersedia dan tidak mengambil mudah perkembangan tersebut.
Katanya, langkah penjimatan bahan api wajar diamalkan dari sekarang bagi mengurangkan risiko gangguan sekiranya konflik berterusan.
“Ini bukan perkara yang boleh dibuat gurauan. Ia sangat serius,” katanya ketika berucap pada majlis pembiayaan sekolah SMKJ Chan Wa di sini hari ini.
Anthony berkata, peningkatan kos tenaga sejak sebulan lalu turut memberi kesan kepada pelbagai sektor industri di seluruh dunia.
Beberapa negara seperti Filipina sudah mengisytiharkan darurat tenaga, manakala Thailand dan Vietnam berdepan kekurangan bekalan sehingga orang ramai terpaksa beratur mendapatkan bahan api.
Katanya, Malaysia masih belum mengalami situasi sedemikian, namun tidak mustahil kesan itu akan dirasai jika keadaan global terus meruncing.
Justeru, rakyat perlu bersedia dan mengubah tabiat penggunaan sumber agar lebih berhemah.
Beliau juga menegaskan kepentingan merancang perjalanan dengan lebih efisien serta mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian.
Penggunaan pengangkutan awam perlu digalakkan, selain mengurangkan perjalanan yang tidak perlu bagi menjimatkan penggunaan bahan api.
Beliau turut menggesa majikan mengambil langkah proaktif dengan menggalakkan amalan berkongsi kenderaan dalam kalangan pekerja.
Menurutnya, langkah mudah seperti itu mampu memberi kesan besar sekiranya diamalkan secara meluas oleh masyarakat.
Mengulas bekalan bahan api, Anthony berkata keadaan semasa masih stabil dan dijangka tidak terganggu sehingga Mei ini. Bagaimanapun, beliau mengingatkan Malaysia masih bergantung kepada pasaran global dan tidak dapat menjamin bekalan sekiranya konflik berpanjangan.




