
PUTRAJAYA: Malaysia dan Jepun bersetuju memperkasakan kerjasama dalam bidang pendidikan bagi mempertingkatkan hubungan dan perkongsian strategik lebih menyeluruh, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, pelbagai inisiatif dibincangkan bersama rakan sejawatnya, Shigeru Ishiba dalam sektor berkenaan termasuk penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia.
Katanya, kerjasama lain termasuk perkongsian antara Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Waseda serta Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Japan International Institute of Technology (JIIT).
“Universiti Keio, adalah sebuah universiti yang penting, ia adalah universiti beliau (Shigeru Ishiba belajar) yang mana saya pernah mempunyai hubungan baik dengannya.
“Jadi, saya kini memohon kepadanya untuk memastikan Universiti Keio untuk turut serta dalam beberapa program kita, termasuk dialog peradaban kerana terdapat minat untuk berinteraksi antara Islam dan Taoisme,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Ishiba sempena lawatan rasmi pemimpin berkenaan ke Malaysia di sini, hari ini.
Terdahulu, Anwar dan Ishiba bersama delegasi masing-masing mengadakan mesyuarat dua hala membincangkan kemajuan hubungan antara kedua-dua negara.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau merakamkan penghargaan kepada Ishiba dan delegasinya kerana memilih Malaysia sebagai negara pertama untuk dilawati.
“Ini menunjukkan bagaimana beliau memandang serius Malaysia, dengan kerjasama dalam pelbagai isu untuk meningkatkan hubungan dua hala kepada perkongsian strategik yang komprehensif.
“Ini membabitkan isu perdagangan dan pelaburan, yang menjadi keutamaan (kedua-dua negara),” katanya.