
PETALING JAYA: Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengesahkan tidak menerima sebarang Titah Adendum daripada Istana Negara untuk bekas perdana menteri Najib Razak menjalani tahanan di rumah.
Agensi itu yang bertindak sebagai urusetia kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengesahkan tiada sebarang dokumen tambahan atau adendum berada dalam fail atau rekod rasmi di bawahnya.
“BHEUU, JPM menegaskan sebarang kenyataan boleh mengelirukan orang ramai mengenai kedudukan atau peranan Lembaga Pengampunan adalah tidak wajar dan berpotensi mengundang tindakan sewajarnya.
“Langkah ini penting bagi memastikan integriti Lembaga Pengampunan terpelihara serta maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan.
Lembaga Pengampunan yang wujud di setiap negeri akan dipengerusikan oleh Sultan atau Yang di-Pertua Negeri bagi setiap negeri.
Bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pula, Lembaga Pengampunan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
BHEUU, JPM berkata, bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dianggap sebagai entiti setaraf negeri, Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya menjadi anggota Lembaga tersebut sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Fasal (11) Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) tidak menganggotai Lembaga Pengampunan mahupun terlibat dengan apa-apa urusan pentadbiran atau pengurusannya termasuk apa-apa perkara lain berkaitan pengampunan mana-mana banduan.
“Prosiding dan maklumat berkaitan Lembaga Pengampunan adalah tertakluk sepenuhnya kepada Akta Rahsia Rasmi [Akta 88].
“Semua dokumen yang berkaitan hanya boleh diakses oleh ahli-ahli Lembaga Pengampunan dan individu yang diberi kuasa secara langsung oleh Lembaga tersebut.
“Tiada mana-mana pihak lain tanpa mengira kedudukan atau jawatan, mempunyai akses kepada dokumen-dokumen tersebut selaras dengan prinsip kerahsiaan dan integriti,” katanya.
BHEUU, JPM juga tidak berurusan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) mengenai apa-apa perkara berhubung Lembaga Pengampunan kecuali kepada Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 yang diadakan pada 29 Januari 2024 telah dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Mesyuarat tersebut telah mempertimbangkan permohonan pengampunan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.