
KUALA LUMPUR : Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (CASP) yang mula berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu bukti usaha berterusan kerajaan dalam memastikan platform media sosial tidak mengabaikan soal keselamatan pengguna.
Ia ekoran usaha pelesenan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dirangka untuk meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna dan memperkukuh kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan pesanan internet serta media sosial.
Pensyarah Komunikasi Media Baharu, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Afiqah Mior Kamarulbaid berkata, melalui penguatkuasaan undang-undang itu, pengguna media sosial akan menikmati pengalaman menggunakan internet dengan lebih selamat tanpa perlu risau ancaman jenayah siber.
“Jika kita lihat terlalu banyak jenayah siber berlaku dengan prosedur operasi standard (SOP) termasuk scammer dan buli siber yang sering berubah menyebabkan pihak berkuasa mengambil masa untuk memahami cara penjenayah ‘bekerja’.
“Bahkan, dengan adanya lesen ini dapat mengurangkan kerisauan ibu bapa apabila anak menggunakan peranti untuk mengakses internet,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengumumkan pada 27 Julai 2024 bahawa semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen CASP.
Menurut SKMM, kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil di bawah Akta 588. Sehingga hari ini, Telegram dan Tencent (WeChat) antara penyedia perkhidmatan yang telah mengemukakan permohonan pelesenan untuk beroperasi di negara ini.
Tambah Afiqah, dalam era teknologi, ibu bapa tidak boleh menafikan penggunaan internet dalam kalangan kanak-kanak dan remaja sama ada dalam aspek pembelajaran ataupun sosial menyebabkan golongan ini lebih mudah terdedah kepada jenayah seperti gangguan seksual.
“Kerajaan telah mengambil langkah yang tepat untuk membendung jenayah melibatkan kanak-kanak dan remaja di media sosial. Ini kerana jenayah boleh memberi kesan buruk kepada mangsa yang tidak mengetahui perkongsian gambar atau maklumat peribadi di internet boleh membuka ruang jenayah.
“Oleh itu, usaha kerajaan melalui SKMM ini amat disambut baik oleh golongan ibu bapa dan warga pendidik. Pun begitu, ibu bapa masih perlu terus mengawal aktiviti anak di media sosial dan tidak menyerahkan sepenuhnya ‘penjagaan’ kepada kerajaan.