
KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan memperkenal dan melaksanakan lesen pengendali media sosial disambut baik masyarakat umum, terutamanya golongan ibu bapa.
Hal ini kerana, golongan kanak-kanak dari seawal usia lapan tahun turut menjadi pengguna media sosial di negara ini.
Golongan itu amat mudah menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab, termasuk jenayah seksual seperti pedofilia dan pengantunan seksual (child grooming).
Pemangsa sering menggunakan platform media sosial kerana beranggapan perbuatan mereka sukar untuk dikesan pihak berkuasa, terutamanya apabila menggunakan akaun palsu.
Bagi Shazlin Kamaruddin, 40, langkah yang diambil kerajaan dalam melindungi golongan kanak-kanak daripada terus menjadi mangsa jenayah seksual dalam talian merupakan tindakan tepat.
Katanya, tindakan itu secara tidak langsung dapat mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan media sosial untuk melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab.
“Saya ada seorang anak lelaki berusia sepuluh tahun yang baru belajar menggunakan media sosial. Dia mengetahui tentang itu (media sosial) melalui rakan-rakan sekolah. Saya pada mulanya berasa bimbang dan ragu-ragu sama ada mahu benarkan dia bermain media sosial atau tidak.
“Ibu bapa mana yang tidak bimbang kalau anak-anak mereka terdedah dengan pemangsa seksual dalam media sosial kerana sekarang ini, macam-macam boleh berlaku.
“Tapi, selepas kerajaan mewajibkan semua platform media sosial mengambil lesen pengendalian, saya mungkin boleh tarik nafas lega kerana kandungan yang tidak munasabah, akaun-akaun palsu yang mencurigakan akan dipantau ketat,” katanya ketika ditemui dalam tinjauan Ceritera, di sini.
Pandangan itu disokong oleh Intan Norafizah, 36, yang juga merupakan ibu kepada dua anak lelaki masing-masing berusia 8 dan 11 tahun.
Katanya, dia tidak dapat elak daripada tidak membiarkan anak-anaknya bermain media sosial kerana zaman kini, platform berkenaan sudah menjadi satu ‘kebiasaan’.
“Zaman kanak-kanak ketika ini tidak sama dengan zaman saya sewaktu kanak-kanak dulu. Mereka kini dikelilingi dengan pelbagai teknologi arus semasa yang canggih. Mereka tidak lagi bermain batu seremban atau congkak.
“Jadi, untuk tidak membenarkan mereka terlibat dengan media sosial mungkin agak sukar. Jika tidak belajar dari ibu bapa pun, mereka akan terdedah dengan rakan-rakan.
“Saya amat sokong dengan pelaksanaan lesen pengendali media sosial ini kerana ia dapat mengurangkan kandungan tidak berfaedah daripada berleluasa dalam mana-mana platform.
“Dengan cara itu, anak-anak kami tidak terdedah dengan perkara tidak sewajarnya. Namun itu tidak bermakna ibu bapa boleh lepas tangan. Kita tetap kena pantau anak-anak,” ujarnya yang bekerja di sebuah university swasta.
Bagi Azlan Shah, 42, pemantauan ibu bapa merupakan asas kepada keselamatan anak-anak, tidak kira apa jua kegiatan yang mereka lakukan.
Ujarnya, mendedahkan anak-anak dengan kemudahan teknologi bukan satu kesalahan jika ia digunakan secara bijak.
“Teknologi dengan masa kini sudah sebati malah perkara itu akan semakin berkembang dari semasa ke semasa. Kita tidak boleh anak-anak daripada terlibat dengan kemudahan teknologi, termasuklah media sosial.
“Sebagai ibu bapa, kita kena sentiasa pantau anak-anak buat apa, bukan hanya pantau apabila mereka bermain media sosial. Jika kita pantau dengan cara yang betul, kita boleh elakkan semua perkara tidak diingini.
“Jangan salahkan teknologi dan apa yang kerajaan buat ketika ini wajar diteruskan demi keselamatan generasi akan datang sebab kita tahu, bahaya dan ancaman itu ada di mana-mana,” jelasnya.