
KUALA LUMPUR: Kerajaan ketika ini meneliti cadangan untuk meminda undang-undang berkaitan kuasa digital syarikat telekomunikasi bagi mengawal platform media sosial dalam usaha menangani masalah penipuan dalam talian (scam).
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu sedang diselaraskan Bank Negara Malaysia (BNM) dan syarikat telekomunikasi juga sudah dimaklumkan.
“Tetapi (wujud) kebimbangan, ada reaksi nampak macam undang-undang (akan diperketat), maka kami sedang meneliti (cadangan itu),” katanya pada Forum Ilmuan Malaysia Madani Siri 4 semalam.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata demikian menjawab soalan berhubung usaha menangani isu penipuan dalam talian yang semakin serius di negara ini.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penipuan menjadi kesalahan jenayah komersial tertinggi dilaporkan sepanjang tahun lepas, iaitu 73,240 kes, melibatkan kerugian lebih RM2.45 bilion.
Daripada jumlah itu, katanya, kes penipuan dalam talian mencatatkan 35,368 kes membabitkan kerugian RM1.57 bilion, manakala jenayah siber sebanyak 720 kes (kerugian RM32.7 juta).