
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri menyifatkan tempoh sepanjang minggu ini sebagai penuh bermakna dan produktif buat Malaysia.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia mengambil kira kedudukan Malaysia yang menerima kunjungan pemimpin negara-negara sahabat seperti Singapura, Indonesia dan Jepun.
Beliau berkata, selain mengukuhkan lagi hubungan erat yang sedia terjalin, pertemuan dan perbincangan tertumpu kepada lembaran kerjasama baharu yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara.
“Kerajaan MADANI terus komited dalam merencana dan melaksana segala usaha bagi memperkukuh ekonomi negara, sosio-ekonomi rakyat dan memperhebat citra negara selaku Pengerusi ASEAN demi kemakmuran bersama rantau ini,” katanya melalui media sosial.
Selasa lalu, Anwar menerima kunjungan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong dan delegasinya bagi Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.
Sehari selepas itu pula, Anwar menerima kunjungan hormat Pengerusi Sinar Mas, Franky Oesman Widjaja dan rombongan dari Indonesia.
Terbaharu semalam, Anwar menerima kunjungan rasmi pertama Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba yang dalam lawatan sulungnya ke Malaysia di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
Semalam juga turut berlangsung pertemuan bersama Perdana Menteri, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto yang dalam lawatan kerja rasminya ke negara ini.
Ini kunjungan pertama Prabowo ke Malaysia sejak dilantik sebagai Presiden pada Oktober lalu dan berlangsung jamuan makan tengah hari tertutup di Rumah Tangsi.