
SHAH ALAM: Polis mengesan unsur kecuaian yang menyebabkan kematian bayi lelaki berusia empat bulan dalam kejadian di sebuah taska dekat Bandar Saujana Putra, Kuala Langat, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi, berkata pihaknya masih menunggu keputusan analisa makmal terhadap punca kematian mangsa bagi membantu siasatan.
“Siasatan masih berjalan dan setakat ini terdapat unsur kecuaian atau pengabaian oleh pengasuh kerana meninggalkan mangsa dalam tempoh masa yang lama tanpa pemantauan.
“Susulan itu, polis sudah mengambil keterangan enam individu termasuk suspek (pengasuh),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut katanya, kertas siasatan sudah dirujuk ke Bahagian D5 (Pendakwaan / Undang-Undang) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.
“Terdapat beberapa arahan yang perlu diambil tindakan sebelum kertas siasatan dirujuk ke Timbalan Pendakwaraya,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, bayi lelaki berusia empat bulan meninggal dunia selepas dihantar ke sebuah taska di Bandar Saujana Putra di Jumaat, minggu lalu.
Mohd Akmalrizal dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 3.29 petang daripada seorang doktor sebuah klinik yang memaklumkan bayi itu dibawa seorang pengasuh taska dalam keadaan pucat kebiruan pada bibir dan kaki, tiada nadi serta nafas, selain tiada pergerakan anak mata bila disuluh lampu.
Katanya, siasatan juga mendapati taska berkenaan tidak berlesen dan dalam proses permohonan.
Sementara Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Azmir Kassim berkata, taska di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat yang dipercayai terbabit dalam kes kematian seorang bayi lelaki itu diarahkan tutup pada Selasa, 7 Januari lalu.