
KUALA LUMPUR: Penganjuran Karnival Havoc Food Festival di tempat letak kereta Sama Square di Setapak, di sini yang berlangsung sejak Khamis lalu dan dijadual berakhir esok, diarah dihentikan bermula hari ini.
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, arahan itu dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana penganjurannya tidak mendapat lesen hiburan semasa daripada pihak berkuasa tempatan berkenaan.
“Susulan kesesakan lalu lintas melampau yang telah mengganggu penduduk di kawasan terbabit, pejabat saya telah menyusuli dengan tindakan kepada pihak berkuasa,” katanya.
Tular dalam media sosial sejak Khamis lalu, apabila kebanyakan penduduk di sekitar kawasan itu meluahkan reaksi negatif kerana terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas hampir dua jam yang berpunca daripada penganjuran karnival berkenaan.
Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam turut memaklumkan permohonan penganjur mendapatkan lesen bagi mengadakan festival itu sebelum ini ditolak sebanyak dua kali disebabkan permohonan lewat dan aduan daripada penduduk setempat berkaitan masalah lalu lintas.
“Pihak penganjur diingatkan untuk tidak mengulangi kesalahan terbabit dan mengambil maklum situasi penduduk setempat sebelum menganjurkan apa-apa acara yang boleh mengganggu orang awam,” katanya.