
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (CASP) tidak perlu dilihat sebagai menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya sebagai kaedah menyampaikan maklumat yang sahih dan secara bertanggungjawab.
CASP boleh memastikan platform media sosial menjadi ruang yang lebih selamat dan beretika.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat Universiti Teknologi Petronas, Hafizan Mat Som berkata, semua pengendali media sosial perlu bertanggungjawab dan mempunyai garis panduan, peraturan serta mekanisme bagi membenarkan kategori kandungan dipaparkan.
“Kebebasan bersuara adalah hak asas setiap individu, namun ia datang dengan tanggungjawab. Setiap individu perlu sentiasa beretika dalam menggunakan media sosial.
“Hal ini kerana, walaupun platform sudah menggariskan peraturan, masih ada segelintir pengguna yang tidak mematuhi dan menyampaikan atau berkongsi kandungan yang melanggar etika.
“Sebagai contoh, kandungan seperti berita palsu, fitnah atau hasutan kebencian boleh mempengaruhi masyarakat secara negatif,” katanya kepada Ceritera.
Langkah pelesenan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) itu dirangka untuk meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna dan memperkukuh kawal selia terhadap penyedia perkhidmatan pesanan Internet serta media sosial.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) pada 27 Julai lalu mengumumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon lesen berkenaan.
Menurut MCMC, kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil bawah Akta 588.
Dalam pada itu, Hafizan berkata, literasi digital yang tinggi adalah kunci untuk memastikan pengguna memahami etika penggunaan media sosial dalam masyarakat.
Katanya, pelaksanaan CASP dapat mendidik masyarakat untuk menghormati batasan dan etika dalam bersuara.
“Seperti yang dinyatakan oleh Habermas (1991), kebebasan bersuara dalam ruang awam perlu diiringi dengan tanggungjawab sosial yang memastikan keharmonian dan kesejahteraan bersama.
“Pelaksanaan CASP ini bukanlah bertujuan menyekat kebebasan, tetapi untuk membina ekosistem media sosial yang lebih bertanggungjawab, selamat, dan beretika,” ujarnya.