
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memperuntukkan sebanyak RM254 juta bagi melaksanakan 28 program pembangunan koperasi sepanjang tahun ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim berkata, jumlah peruntukan itu merupakan yang tertinggi sejak penubuhan gerakan koperasi pada tahun 1922, mencatatkan peningkatan sebanyak 167 peratus berbanding tahun lalu.
Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM27.9 juta diperuntukkan dalam bentuk geran merangkumi 20 program di bawah Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi (KWAPb), Kumpulan Wang Pusat (CCF) serta peruntukan Bajet Pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Peruntukan ini bertujuan menyokong pengadaptasian teknologi, pemerkasaan federasi koperasi, penerapan kelestarian dan teknologi hijau, pendigitalan operasi, pengukuhan keupayaan eksport, peningkatan nilai komersial produk serta bantuan permulaan dan pemulihan perniagaan koperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan rasmi pertamanya ke Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), di sini, hari ini.
Kata Steven, bagi memperkukuh akses kepada pembiayaan, sebanyak RM226 juta lagi akan disalurkan melalui Pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM yang merangkumi lapan program.
“Ia bertujuan menyokong keperluan modal kerja, pengembangan perniagaan serta meningkatkan keupayaan dan daya saing koperasi,” jelasnya.
Steven berkata, gerakan koperasi di negara ini membawa tiga misi utama iaitu menjana ekonomi, menjaga kebajikan serta membina perpaduan dalam kalangan rakyat.
Katanya, prinsip koperasi yang melangkaui perbezaan politik, kaum dan agama menjadikan gerakan itu sesuai sebagai wadah untuk memperjuangkan misi berkenaan.
“Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid pernah menyatakan bahawa dalam syarikat swasta, wang ringgit yang bersuara, tetapi dalam koperasi, manusialah yang bersuara,” katanya.
Menurut beliau, ketika ini terdapat kira-kira 16,000 koperasi berdaftar dengan lebih tujuh juta ahli di seluruh negara.







