MADRID: Real Madrid pada Isnin mengumumkan jurulatih Xabi Alonso telah meninggalkan kelab gergasi Sepanyol itu melalui persetujuan bersama dan digantikan Alvaro Arbeloa.
“Real Madrid mengumumkan melalui persetujuan bersama antara kelab dan Xabi Alonso, telah diputuskan untuk menamatkan tempoh perkhidmatannya sebagai jurulatih pasukan utama,” kata Madrid dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan berasingan, Madrid mengumumkan Arbeloa akan menggantikan Alonso tanpa menyatakan tempoh kontrak jurulatih itu.
“Arbeloa merupakan jurulatih Castilla sejak Jun 2025 dan telah membangunkan keseluruhan kerjaya kejurulatihannya di akademi Real Madrid sejak 2020,” menurut kenyataan Los Blancos.
Perlawanan pertama Arbeloa sebagai ketua jurulatih ialah aksi pusingan 16 terakhir Copa del Rey menentang pasukan divisyen kedua, Albacete, pada hari Rabu.
Pemain Sepanyol itu membuat 238 penampilan bersama Madrid antara 2009 hingga 2016 dengan memenangi dua gelaran Liga Juara-Juara dan satu kejuaraan La Liga serta beberapa trofi lain.
Selain itu, Arbeloa yang merupakan teman sepasukan Alonso di peringkat negara dan kelab juga menjulang Piala Dunia bersama Sepanyol pada 2010.
Jurulatih berusia 42 tahun itu turut memenangi Kejohanan Eropah pada 2008 dan 2012.
Alonso menyertai Madrid pada Jun lalu bagi menggantikan jurulatih veteran Carlo Ancelotti namun kelab itu bergelut untuk mengekalkan konsistensi di bawah kendalian jurulatih Basque tersebut.
Madrid kini menduduki tangga kedua La Liga, ketinggalan empat mata di belakang Barcelona.
Los Blancos yang mencatat kekalahan 3-2 kepada pasukan kendalian Hansi Flick di Arab Saudi pada Ahad lalu menjadi perlawanan terakhir Alonso sebagai jurulatih.
Alonso hampir dipecat pada penghujung 2025 tetapi rentetan lima kemenangan berturut-turut mengekalkannya di jawatan tersebut sebelum kekalahan dalam saingan akhir Piala Super. – agensi
