KUALA LUMPUR: Seramai 17,335 graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berjaya memperoleh pekerjaan melalui portal MYFutureJobs dari Januari hingga 4 April lalu.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, keberhasilan itu mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memperkasakan laluan kerjaya teknikal dan vokasional dalam kalangan belia.
Sepanjang tahun lalu katanya, sebanyak 99,315 penempatan pekerjaan berkaitan TVET direkodkan menerusi portal berkenaan.
“Dari segi ketersediaan peluang, sebanyak 230,817 kekosongan jawatan berkaitan TVET diiklankan melalui MYFutureJobs dari Januari hingga 18 April lalu.
“Jumlah itu mewakili lebih 51 peratus daripada keseluruhan 445,875 kekosongan jawatan yang ditawarkan dalam tempoh sama,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Kerjaya Mega MYFutureJobs @Hari Pekerja 2025 di pekarangan Axiata Arena, Bukit Jalil di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Sim berkata, sebanyak 700,474 kekosongan jawatan berkaitan TVET diiklankan melalui portal MYFutureJobs pada tahun lalu, sekali gus memperlihatkan permintaan tinggi terhadap tenaga kerja berkemahiran.
Katanya, antara sektor utama yang menawarkan peluang pekerjaan kepada graduan TVET ialah sektor pembuatan, perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor serta pengangkutan dan penyimpanan.
“Jumlah graduan TVET yang dilahirkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) bagi tempoh 2013 hingga 2024 adalah seramai 93,904 orang,” katanya.
