AYER KEROH: Kerajaan negeri melancarkan beras putih tempatan dikenali Beras Melaka yang mula berada di pasaran sejak 26 April lalu.
Pengeluaran bagi fasa pertama itu hasil tuaian padi varieti MR 297 dan dijual dengan harga RM26 bagi setiap 10 kilogram (kg) dan dijual hanya di pasar tani serta pusat jualan barangan agro seluruh negara.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata kerajaan negeri mengambil inisiatif menghasilkan benih padi sah khusus untuk kegunaan pesawah di negeri itu.
Katanya, projek terbabit dilaksanakan pasukan khas dianggotai Jabatan Pertanian negeri, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Pertubuhan Peladang Negeri (PPN).
“Inisiatif diketuai EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh bertujuan mengatasi masalah bekalan benih MR297 yang terhad, meningkatkan hasil padi negeri serta mengurangkan kos sara hidup pesawah.
“Pelaksanaan projek bermula dengan kerja membaik pulih sistem saliran, perataan tanah, pegapuran sawah sehingga penanaman benih daftar MR297 pada 26 September tahun lalu.
“Penuaian hasil dimulakan 20 Januari lalu dan pengedaran benih sah serta beras tempatan diuruskan melalui PPN Melaka dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri,” katanya selepas melakukan gimik pelancaran Beras Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.
Beras Melaka hanya boleh diperoleh di sembilan lokasi jualan iaitu enam pasar tani anjuran FAMA di Alor Gajah, Masjid Tanah, Lubok China, Merlimau, Jasin dan Selandar, selain semua Agrobazar Kedai Rakyat, Program Jualan Agro MADANI serta program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).
Dr Muhamad Akmal, berkata untuk fasa pertama pembelian Beras Melaka dihadkan kepada satu kampit untuk satu keluarga setiap jualan.
“Beras itu bagaimanapun tidak boleh dijual kepada warga asing, justeru setiap pembeli diminta membawa kad pengenalan bagi tujuan pemeriksaan sekiranya perlu.
“Pihak kerajaan negeri juga sudah meminta semua peniaga supaya menghadkan jualan kepada warga tempatan sahaja,” katanya.
