
SEPANG: Seramai 284 jemaah kendalian Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd berlepas ke Tanah Suci hari ini bagi menunaikan ibadah umrah sempena ketibaan Ramadan esok.
Kesemua jemaah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 10 pagi tadi menerusi penerbangan Malaysia Airlines menuju ke Madinah.
Lebih istimewa, umrah kali ini dibimbing oleh Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah yang merupakan tokoh agama tersohor dan ikon pilihan jemaah.
Md Daud berkata, ibadah umrah berkenaan dijadual berlangsung selama 13 hari, dengan jemaah akan berada di Madinah empat hari sebelum meneruskan perjalanan ke Mekah untuk tempoh lapan hari bagi menyempurnakan ibadah.
Beliau berkata, pihaknya telah merangka jadual khusus bagi memastikan keperluan ibadah jemaah sepanjang Ramadan dapat dipenuhi dengan sebaiknya.

“Para jemaah akan dibawa menunaikan umrah sekurang-kurangnya tiga kali pada waktu siang bagi memberi ruang kepada mereka menumpukan ibadah solat tarawih pada waktu malam yang hanya dilaksanakan dalam bulan Ramadan.
“Pelaksanaan umrah pada siang hari juga bertujuan membolehkan mereka merebut ganjaran pahala umrah pada Ramadan yang menyamai pahala haji walaupun terpaksa berdepan keadaan berpuasa dan keletihan.
“Walaupun tenaga agak terhad pada waktu siang, jemaah tetap sabar dan cekal demi meraih keberkatan serta meningkatkan ketakwaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di KLIA.

Ketika ditanya mengenai rahsia kekal cergas pada usia 80 tahun, Md Daud berkata, beliau sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar dikurniakan kesihatan dan keselamatan sekiranya dipanjangkan usia untuk terus memimpin jemaah.
“Saya mahu terus membantu jemaah agar mereka dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna,” katanya.

Tambah beliau, pengalaman berkhidmat selama 25 tahun bersama Lembaga Tabung Haji sebelum menubuhkan Andalusia memberi kelebihan kepadanya mengendalikan rombongan umrah khususnya Ramadan setiap tahun.
Katanya, pengalaman luas itu turut meningkatkan keyakinan dan kepuasan jemaah, selain komitmen tinggi ditunjukkan pihak pengurusan dalam memastikan perjalanan ibadah berjalan lancar.







