
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merekodkan 2,889 kes buli tahun lalu, melibatkan 740 kes di sekolah rendah dan 2,149 kes di sekolah menengah.
KPM mendedahkan, sebanyak 3,570 kes salah laku jenayah turut dicatatkan, dengan 457 kes di sekolah rendah dan 3,113 kes di sekolah menengah.
“Pihak KPM tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku disiplin termasuk buli dan jenayah di institusi pendidikan.
“Antara tindakan disiplin yang telah diambil oleh pihak sekolah termasuk memberi amaran lisan, mengeluarkan amaran bertulis, mengenakan kelas tahanan, melaksanakan hukuman rotan, menggantung persekolahan dan membuang murid dari sekolah.
“Tindakan disiplin yang lebih tegas ini diambil berdasarkan tahap keseriusan kes yang berlaku,” kata KPM.
KPM menjawab soalan V Ganabatiru (PH-Klang) berhubung jumlah keseluruhan kes buli dan jenayah direkodkan di sekolah di seluruh negara pada tahun lepas dan tindakan kementerian.
Pada tahun 2024, KPM menambah, merekodkan bilangan kes buli tertinggi, iaitu 7,681 kes melibatkan 1,992 kes di sekolah rendah dan 5,689 kes di sekolah menengah.
Kata KPM, bilangan itu direkodkan berikutan hasil peningkatan tahap kesedaran dan pematuhan pihak sekolah, khususnya dalam kalangan murid, guru dan pentadbir sekolah terhadap pelaksanaan Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 12 Tahun 2023 berhubung salah laku buli.
“KPM mempunyai mekanisme yang jelas menerusi ketetapan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) sebagai panduan kepada pentadbir sekolah, antaranya SPI Bilangan 12 Tahun 2023: Pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli di Institusi Pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia dan SPI Bilangan 7 Tahun 2011: Pelaksanaan SOP 1:3:7 Pelaporan dan Tindakan Menangani Isu Disiplin Murid.
“Selain itu, audit keselamatan dilaksanakan di seluruh negara bagi menjamin isu keselamatan ditangani dengan berkesan serta memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) sekolah dipatuhi dengan 1,758 sekolah diaudit setakat 19 Nov lepas,” kata KPM.
KPM menambah, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) berserta pelaksanaan program sokongan kesihatan mental dan psikososial turut diperkukuh melalui penempatan baharu 523 orang Guru Bimbingan dan Kaunseling di sekolah seluruh negara pada 2025.




