
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki melepaskan tembakan ke arah kenderaan dipandu Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Nasaruddin Nasir, semalam.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata tangkapan itu dibuat kurang 24 jam selepas kejadian dan proses soal siasat sedang dijalankan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Siti Zailah Yusoff (PN-Rantau Panjang) berhubung keselamatan anggota keselamatan sempadan susulan insiden tersebut.
Menurut laporan, kejadian berlaku pada 5.40 pagi semalam apabila dua lelaki menunggang motosikal menghampiri Proton X70 dipandu Nasaruddin dalam perjalanan ke masjid untuk solat Subuh, sebelum melepaskan beberapa das tembakan.
Nasaruddin terselamat dan polis percaya serangan itu bertujuan menakutkan pasukan penguat kuasa yang aktif menjalankan operasi di sempadan negara.
Beliau menegaskan, kerajaan tidak akan tunduk kepada sebarang ancaman terhadap keselamatan negara.
Katanya, kementeriannya sedang melaksanakan pembaharuan sistem permit masuk termasuk penyelesaian 19,205 permohonan tertunggak dari 2013 hingga 2025.
Saifuddin turut merujuk dasar 2025, dengan warga asing perlu berkahwin dengan rakyat Malaysia sekurang-kurangnya tiga tahun berbanding lima tahun sebelum ini, bagi memohon status pemastautin tetap.
Permohonan permit masuk kini boleh dilakukan secara dalam talian melalui Sistem Imigresen Bersepadu Nasional sebaik sahaja sistem itu beroperasi sepenuhnya.
Menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) berhubung langkah kerajaan menyelaras dasar permit masuk dengan keperluan tenaga kerja strategik untuk sektor berimpak tinggi, Saifuddin berkata Peraturan Imigresen 1963 menetapkan hanya individu dengan kepakaran profesional layak diberikan pas masuk.
Beliau menambah, pas ekspatriat dan pas lawatan profesional dikeluarkan kepada warga asing yang mempunyai kepakaran dan boleh memberi manfaat kepada negara, tetapi dasar ini tidak menjejaskan peluang bakat tempatan.
“Kepakaran profesional mereka memberikan nilai tambah yang boleh dipelajari bakat tempatan,” jelasnya.





