
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan dakwaan peningkatan tangkapan individu atau aktivis berkaitan isu agama, raja dan kaum (3R) berpunca daripada sebarang tekanan politik.
Timbalan Menterinya, Shamsul Anuar Nasarah, menegaskan semua penahanan dibuat susulan laporan orang awam dan disiasat mengikut undang-undang sedia ada.
“Setiap individu yang disyaki melakukan kesalahan akan disiasat tanpa mengira latar belakang atau kedudukan politik mereka.
“Polis komited menangani perkara yang boleh mencetuskan kegentaran awam, menggugat keselamatan negara serta keharmonian masyarakat,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat.
Beliau turut mengingatkan orang ramai tidak mengeluarkan kenyataan yang menyentuh isu 3R dan memberi kepercayaan kepada polis untuk menjalankan siasatan secara telus.
Shamsul menjawab soalan tambahan daripada Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai tangkapan kebelakangan ini yang dilaporkan lebih tinggi berbanding pertuduhan, termasuk membabitkan penyelaras himpunan Gerakan Anti Rumah Ibadat Haram (Garah).
Katanya, setiap siasatan dan tangkapan dilakukan berlandaskan undang-undang tanpa niat menyekat kebebasan bersuara selagi ia tidak melangkaui batas dan mengancam keharmonian negara.
Beliau menambah, berdasarkan statistik penguatkuasaan Akta Hasutan 1948, sebanyak 90 tangkapan direkodkan bagi tempoh 2024 dan 2025, namun hanya 14 kes diteruskan dengan pendakwaan.
“Peningkatan tangkapan mencerminkan ketegasan polis dalam membendung penyebaran kandungan sensitif berkaitan 3R supaya tidak berkembang secara melampau.
“Walaupun jumlah kertas siasatan meningkat sedikit, tangkapan bertambah kerana penglibatan individu atau kumpulan yang bertindak secara kolektif menyebarkan kandungan berunsur hasutan.
“Penurunan jumlah pertuduhan pula menunjukkan kerajaan berhati-hati dalam memutuskan pendakwaan,” katanya.
Beliau menjelaskan, setiap kes dinilai secara menyeluruh oleh Pejabat Peguam Negara (AGC) dan hanya kes dengan bukti kukuh dibawa ke mahkamah, manakala kes lain diselesaikan melalui amaran atau pemantauan berterusan.






