
KUALA LUMPUR: Blok pembangkang meminta supaya kerajaan menangguhkan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pemisahan kuasa Peguam Negara serta RUU mengenai had tempoh jawatan Perdana Menteri.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihak pembangkang sebaliknya mengesyorkan agar kedua-dua draf perundangan itu terlebih dahulu dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk penelitian lanjut.
Menurutnya, pembangkang berharap RUU berkenaan dapat dirujuk semula kepada jawatankuasa terbabit dan sekiranya boleh, ditarik daripada dibentangkan bagi bacaan kali kedua yang dijadualkan berlangsung pada Isnin ini.
“Pembangkang mengharapkan RUU ini dirujuk semula kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen. Kalau boleh ditarik daripada dibentangkan untuk bacaan kali kedua Isnin ini.
“Sebaliknya, rujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan membuat pindaan-pindaan yang sewajarnya,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Tambah Takiyuddin, RUU ini bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan selain didakwa menyentuh serta mengehadkan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong dalam melantik Perdana Menteri.
“Mengikut Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara dalam beberapa perkara tertentu termasuk pelantikan Perdana Menteri tanpa perlu terikat kepada nasihat mana-mana pihak.
“Perkara 43(2)(a) berbunyi Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri iaitu seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
“Tiada ada apa-apa syarat 10 tahun, 20 tahun, lima tahun… tidak ada. Jadi dengan membuat pindaan ini pada pandangan kami, ia bercanggah dengan Perkara 40 prerogatif Yang di-Pertuan Agong dan juga Perkara 43(2)(a) iaitu hak budi bicara untuk melantik Perdana Menteri siapa saja asal dia seorang Ahli Dewan Rakyat,” katanya.
Malah katanya, pembangkang juga menyifatkan RUU pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang dibentangkan di Dewan Rakyat bukan satu reformasi menyeluruh, sebaliknya didakwa memindahkan kuasa sedia ada tanpa mewujudkan mekanisme semak dan imbang.
Tambahnya, berdasarkan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding jenayah kecuali prosiding di Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri dan Mahkamah Tentera.
“Kuasa ini bersifat mutlak atau absolute discretion, termasuk untuk memulakan, meneruskan atau menarik balik sesuatu pendakwaan.
“Inilah yang sekian lama menjadi kebimbangan masyarakat sivil kerana kuasa tersebut terlalu besar tanpa mekanisme semak dan imbang yang mencukupi,” katanya.
Melalui pindaan yang dicadangkan, beliau mendakwa, apa berlaku hanyalah pemindahan kuasa secara copy and paste walaupun Perkara 145 dipinda dan kuasa Peguam Negara dilihat seolah-olah dikurangkan, dan peruntukan yang sama dipindahkan hampir sepenuhnya kepada Pendakwa Raya.
“Sebagai contoh, Perkara 145B(1) memperuntukkan bahawa Pendakwa Raya mempunyai kuasa menurut budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan prosiding bagi sesuatu kesalahan dengan perkataan yang hampir sama seperti peruntukan terdahulu bagi Peguam Negara.
“Ini bermakna kuasa mutlak itu tidak dihapuskan, sebaliknya hanya dipindahkan daripada Peguam Negara kepada Pendakwa Raya. Perkara yang menjadi perhatian pihak pembangkang ialah ketiadaan mekanisme akauntabiliti dan semak imbang terhadap Pendakwa Raya.
“Seorang menteri bertanggungjawab kepada Parlimen dan Kabinet, namun Pendakwa Raya tidak bertanggungjawab secara langsung kepada mana-mana institusi dalam kerangka Perlembagaan,” katanya.





