
KUALA LUMPUR: Orang ramai digalakkan menggunakan istilah ‘budaya songsang’ sebagai ganti kepada rujukan terhadap komuniti LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) bagi mengelakkan unsur normalisasi serta membendung penyebaran kandungan berkaitan melalui algoritma media sosial.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, penggunaan istilah berkenaan juga bertujuan menyeragamkan bahasa dalam ucapan dan penulisan, selain mengelakkan sebarang bentuk promosi tidak langsung terhadap budaya tersebut.
“Apabila semakin banyak kita sebut, tulis dan nyatakan di mana-mana (istilah LGBT), ia akan menyebabkan semakin banyak kandungan pop-out keluar tentang perkara ini.
“Secara tidak sedar, kita seolah-olah sedang mempromosikan budaya songsang tersebut,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Hussin Ismail mengenai status terkini pemantauan terhadap penganjuran program tertutup berunsurkan LGBT seperti Glamping with Pride serta pendekatan dakwah dan bimbingan yang dilaksanakan.
Sementara itu, berkaitan program Glamping with Pride yang tular di media sosial pada awal tahun ini, beliau memaklumkan acara berkenaan dibatalkan selepas pihak berkuasa negeri Selangor mengesahkan tiada permit pernah diluluskan kepada penganjurnya.
Ketika menyentuh aspek kawal selia kandungan pula, beliau berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui unit penyelidikannya sentiasa memantau kandungan media sosial yang berkaitan isu budaya songsang serta ajaran sesat.
Menurutnya, unit tersebut turut bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM ) bagi melaporkan serta memohon tindakan menurunkan pautan atau kandungan yang didapati melanggar undang-undang dan nilai agama.





