
RAUB: “Saya dengar jeritan dua kali sebelum api marak,”
Demikian dakwa seorang jiran kepada lima sekeluarga yang maut dalam kebakaran di Kampung Pamah Kulat, awal pagi tadi.
Memetik laporan Bernama, dalam kejadian pukul 3 pagi itu, saksi, Ruslah Ismail, 64, berkata dia terdengar jeritan dari rumah berkenaan ketika bersiap untuk memasak nasi bagi bersahur.
Menurutnya, sebaik menjenguk ke luar, dia mendapati api sudah marak menyambar kediaman jiran berkenaan.
“Saya dengar jeritan dua kali. Bila tengok rumah sebelah, api sudah besar.
“Saya terus kejutkan anak dan capai barangan penting kerana bimbang api merebak ke rumah kami,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Ruslah yang juga peniaga kedai runcit mengakui panik melihat keadaan api yang begitu cepat merebak sebelum ketibaan pasukan bomba kira-kira pukul 4.15 pagi.
Katanya, pasangan suami isteri yang terkorban itu menjalankan perniagaan makanan dan telah menetap di rumah berkenaan hampir 10 tahun.
“Mereka memang baik dengan jiran-jiran. Kejadian ini memang mengejutkan kami semua,” ujarnya sebak.
Sementara itu, pemilik rumah, Nor Rizan Kamaluddin, 59, memberitahu kediaman berkenaan dibina selepas rumah asal di kawasan sama musnah dalam kebakaran pada 2014.
Menurutnya, keluarga mangsa sudah lama menyewa di situ dan hubungan mereka sangat rapat, malah banyak membantu arwah ibunya yang tinggal bersebelahan.
“Memang terkejut dan sedih. Anak-anak mereka membesar depan mata kami.
“Kalau ibu saya perlukan apa-apa, mangsa yang akan hubungi keluarga kami,” katanya.
Pesara itu berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh jiran sebelum bergegas ke lokasi yang terletak 200 meter dari rumahnya pada pukul 3.45 pagi ketika api masih marak.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum jentera tiba di lokasi pada pukul 4.15 pagi.
Menurut beliau, api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 4.48 pagi.
“Kebakaran memusnahkan 100 peratus struktur rumah dan turut melibatkan tiga kereta serta tiga motosikal,” katanya.







