
KUALA LUMPUR: Negeri Sembilan Football Club (NSFC) akan menghantar Ketua Jurulatih B-20, Norhafiz Zamani Misbah bersama tiga pemain muda, Airiel Zafran Mohd Azrul, Aqil Faris Shalahudin dan Adam Haris Hamizon ke kelab J-League 3, Gainare Tottori di Jepun.
Mereka akan menjalani latihan dan percubaan selama sebulan di negara Matahari Terbit berkenaan bermula pada hujung Februari ini.
Sepanjang tempoh tersebut, ketiga-tiga pemain akan dinilai terlebih dahulu oleh barisan kejurulatihan akademi Gainare Tottori.
Jika menepati standard dan kriteria yang ditetapkan, mereka akan diberi peluang untuk turut serta menjalani latihan bersama skuad utama kelab berkenaan.
Dalam masa sama, Norhafiz Zamani akan ditempatkan bersama struktur kejurulatihan pasukan utama Gainare Tottori bagi mendalami metodologi latihan, pengurusan pasukan dan pendekatan taktikal diamalkan dalam sistem bola sepak profesional Jepun.
Pengerusi NSFC, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, program itu bertujuan untuk membentuk pemain muda tempatan yang berkualiti dalam persiapan menghadapi temasya SUKMA tahun ini dan memberi peluang kepada pemain untuk dinilai bagi potensi kontrak di J-League sekiranya memenuhi standard ditetapkan.
“Program latihan dan percubaan ini mencerminkan komitmen serius NSFC dalam membina asas pembangunan pemain muda yang mampan dan berdaya saing.
“Kita tidak boleh hanya bergantung kepada kejayaan jangka pendek tetapi perlu membina struktur yang kukuh untuk masa hadapan.
“Hubungan baik kita dengan Gainare Tottori membuka ruang yang amat berharga kepada pemain dan jurulatih untuk menimba pengalaman dalam ekosistem bola sepak profesional Jepun yang terkenal dengan disiplin dan intensiti tinggi,” katanya dalam laman rasmi NSFC.
Aminuddin berharap peluang tersebut dimanfaatkan oleh pemain dan jurulatih terlibat untuk membawa pulang ilmu dan standard baharu yang boleh mengangkat mutu bola sepak Negeri Sembilan.
Beliau menambah, program seperti itu akan dilaksanakan secara tahunan dengan melibatkan pemain-pemain muda lain sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan berterusan kelab.
“NSFC yakin bakat-bakat tempatan mampu diperkasa untuk bersaing di peringkat lebih tinggi sekali gus memperkukuhkan kekuatan skuad Liga Super dan membawa nama Negeri Sembilan ke tahap yang lebih membanggakan,” katanya.







