
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengecam sekeras-kerasnya insiden melibatkan seorang individu yang memuat naik kandungan memijak al-Quran di platform media sosial Threads menggunakan nama akaun ryandaselva.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perbuatan itu disifatkan biadab, menghina agama Islam serta mencabar sensitiviti dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Saya telah mengarahkan siasatan dan tindakan segera oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Fahmi berkata, MCMC akan menyelaras bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan menyeluruh dan tanpa kompromi, berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
“Sebarang perlakuan menyentuh sensitiviti agama dan mengancam ketenteraman awam tidak boleh diterima sama sekali,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman hari ini mengesahkan seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan polis untuk siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial melalui hantaran yang tular sejak semalam.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut memberi jaminan insiden itu akan diselesaikan segera memandangkan perbuatan itu mampu mengundang kegusaran terutamanya berlaku pada bulan Ramadan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar bertenang serta tidak mengambil sebarang tindakan luar jangka terhadap pelajar tersebut.







