
KUALA LUMPUR: Kerajaan memandang serius insiden tembakan melibatkan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di pintu masuk negara dan mengaktifkan langkah keselamatan tambahan serta-merta.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu bagi memastikan keselamatan anggota dan orang awam terjamin.
“Saya bersyukur beliau selamat. Kejadian ini sedang disiasat secara menyeluruh oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Keselamatan di semua pintu masuk negara kekal terkawal. Saya ingin memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana ancaman terhadap keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saifuddin memberi jaminan tindakan tegas akan diambil sambil menyeru orang ramai stidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara profesional.
Terdahulu media melaporkan kenderaan Proton X70 yang dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam dipercayai ditembak dengan dua das tembakan awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 5.40 pagi itu, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir terselamat daripada terkena peluru selepas tembakan dilepaskan suspek tidak dikenali.







