
KOTA TINGGI: Seorang lelaki warga Rohingya, Rashidullah Mong Fumiyah, 35, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi dua pertuduhan termasuk membunuh isterinya yang hamil, pada 13 Februari lalu.
Rashidullah mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh termasuk di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Bagi pertuduhan pertama, Rashidullah yang bekerja sebagai tukang gunting rambut didakwa membunuh isterinya, Fazanah Eskar, 34, pada awal pagi 13 Februari di sebuah rumah di Kampung Makam, Kota Tinggi.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 22 April untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan bedah siasat dan kimia.
Bagi pertuduhan kedua, Rashidullah didakwa menghentak kepala kiri isterinya menggunakan lesung batu sehingga menyebabkan kematian mangsa serta anak dalam kandungannya, di lokasi dan tarikh sama.
Pertuduhan ini dikemukakan mengikut Seksyen 316 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Rashidullah memberitahu faham akan pertuduhan dan hukuman dihadapinya, namun ketika ditanya sama ada mengaku bersalah, lelaki itu hanya menangis dan memohon maaf.
Mahkamah menetapkan 18 Mac untuk sebutan semula kes bagi kehadiran jurubahasa Myanmar.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Eizlan Azhar manakala Rashidullah tidak diwakili peguam.
Sebelum ini, polis mengesahkan seorang wanita hamil tujuh bulan ditemukan maut di dalam bilik rumah sewa dipercayai dibunuh suaminya menggunakan lesung batu dalam kejadian pukul 3 pagi.







