
RAWANG: Sebuah kuil Hindu di Rawang Perdana dirobohkan awal pagi tadi, beberapa jam selepas jawatankuasanya mengalihkan patung berhala susulan persetujuan dicapai bersama pihak berkuasa dan pemilik tanah, Yayasan Kubra.
Memetik laporan Malaysiakini, aktivis Yayasan Kubra, Ariff Omar memberitahu, jawatankuasa kuil sudah mengeluarkan semua patung dan barang keagamaan lain sebelum tempoh 14 hari yang dipersetujui tamat pada tengah malam tadi.
Katanya, sekumpulan sukarelawan memulakan kerja-kerja perobohan sekitar 3 pagi dengan pemantauan polis.
“Saya dimaklumkan tiada sebarang provokasi berlaku kerana pihak kuil telah mengalihkan semua berhala mereka malam tadi juga.
“Walaupun pihak kuil sebelum ini berkeras untuk tidak keluar dari tanah yayasan, akhirnya mereka mematuhi undang-undang dan perjanjian yang dipersetujui,” ujarnya.
Kuil berkenaan menjadi perhatian selepas aktivis Tamim Dahri mula merobohkan sebahagian struktur dua minggu lalu.
Yayasan Kubra sebelum ini mengupah Tamim untuk memberi laluan kepada pembinaan projek perumahan untuk golongan miskin di tapak itu.
Insiden tersebut mencetuskan konfrontasi antara Tamim dan tiga individu lain dengan pihak yang mempertahankan kuil, namun semua suspek kemudian dibebaskan selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam membatalkan perintah reman dua hari yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Shah Alam.
Pemegang amanah Yayasan Kubra, Ismail Mina pula menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap aktivis Arun Dorasamy yang didakwa mencetuskan masalah dengan campur tangan dalam isu tersebut.
Katanya, pihak yayasan dan kuil sudah mencapai penyelesaian melalui perbincangan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, namun campur tangan Arun menimbulkan persepsi negatif terhadap orang Islam.
Beliau berkata, pihak yayasan kini mendapatkan nasihat peguam berhubung tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap Arun bagi menangani isu tersebut.
Proses pemindahan dan perobohan kuil berlangsung tanpa insiden dengan kerjasama jawatankuasa kuil, sukarelawan dan pemantauan pihak polis bagi memastikan keamanan dan mematuhi saluran undang-undang.







