
KUALA LUMPUR: Parti Tindakan Demokratik (DAP) menegaskan pendiriannya untuk terus mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’ yang dikaitkan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti dilaporkan media antarabangsa, Bloomberg.
Pengerusinya, Gobind Singh Deo, berkata kenyataan SPRM yang menafikan dakwaan berkenaan sebagai tidak berasas masih belum memadai untuk meredakan kebimbangan umum.
Menurut beliau, prinsip asas keadilan menegaskan bahawa tiada pihak boleh menjadi hakim dalam kes sendiri, justeru pengesahan oleh agensi yang terpalit dengan dakwaan tersebut tidak mencukupi untuk memulihkan keyakinan rakyat dan pelabur.
“Apabila integriti agensi utama pencegahan rasuah negara dipersoal, penjelasan dalaman tanpa sebarang tindakan susulan yang bebas dan telus tidak banyak membantu memperkukuh kepercayaan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Gobind yang juga Menteri Digital berkata, pendirian parti itu selari dengan kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, sebelum ini mengenai satu siasatan bebas perlu dilaksanakan segera.
Beliau berkata, dakwaan dibangkitkan adalah bersifat khusus kerana menamakan individu dan syarikat tertentu serta merujuk kepada kes yang boleh dikenal pasti.
Katanya, terdapat asas mencukupi untuk siasatan dimulakan dan mekanisme paling sesuai ialah melalui penubuhan RCI yang mempunyai kuasa statutori bagi menjalankan siasatan menyeluruh serta bermakna.
“Sama ada dakwaan itu benar atau tidak, serta tindakan susulan yang perlu diambil, sewajarnya diputuskan oleh RCI,” katanya.
Semalam, dua Ahli Parlimen kerajaan turut mencadangkan supaya mekanisme pengawasan terhadap SPRM diperkukuh susulan laporan mengenai kontroversi pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjayanya serta dakwaan salah laku dalam agensi berkenaan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mencadangkan sekiranya RCI ditubuhkan, ia wajar dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, bagi memastikan kebebasan dan ketelusan siasatan.
Gobind berkata, penubuhan RCI bukan bertujuan mencari kesalahan atau melemahkan SPRM, sebaliknya untuk memastikan agensi itu kekal bebas daripada sebarang keraguan serta bersih daripada dakwaan yang boleh menjejaskan integriti dan kewibawaannya.
“Semua agensi yang diberi kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan mesti sentiasa tertakluk kepada prinsip kedaulatan undang-undang.
“Pendirian kami kekal. Satu siasatan mesti dijalankan dan ia wajar dilaksanakan melalui RCI dengan segala kuasa diperlukan bagi memastikan penyiasatan yang berkesan dan telus dapat dijalankan secepat mungkin,” katanya.





