
KUALA LUMPUR: Program Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Kasih Ramadan: HER Journey dilancarkan dalam mewujudkan platform intervensi sosial berfokus memperkasa remaja perempuan yang memerlukan perlindungan dan jagaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program tersebut menghimpunkan 100 peserta Program Anjung Sinar YKN yang berusia 15 hingga 19 tahun.
Beliau yang merupakan Pengerusi YKN menambah, para peserta terdiri daripada anak yatim ataupun piatu, mangsa penderaan atau pengabaian serta remaja di bawah Perintah Mahkamah mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.
“Program ini dirangka sebagai satu journey atau perjalanan membina jati diri, harapan dan kekuatan dalaman dalam kalangan peserta.
“Sepanjang program ini, para peserta akan dibimbing melalui pengisian rohani, sokongan emosi, sesi kaunseling oleh kaunselor berpengalaman serta pendedahan kepada ilmu perlindungan diri.
“Usaha ini penting untuk memastikan mereka mempunyai kekuatan dan pengetahuan bagi melindungi diri serta membina masa depan yang lebih baik,” katanya ketika berucap pada Program YKN Kasih Ramadan: HER Journey di sini semalam.
Beliau menegaskan, pendekatan whole-of government dan whole-of-society amat penting dalam memastikan setiap intervensi sosial dilaksanakan secara bersepadu serta berkesan.
Katanya, usaha berkenaan dilaksanakan melalui kerjasama antara kerajaan, agensi, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat bagi membina ekosistem sokongan yang lebih kukuh untuk golongan rentan.
“Program ini selaras dengan penerapan nilai teras K.A.S.I.H yang diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) iaitu Kasih Sayang, Akhlak Mulia, Sihat, Ilmu dan Harmoni sebagai asas membentuk komuniti yang seimbang, inklusif dan mampan secara holistik.
“Saya berharap program ini akan menjadi titik permulaan kepada perubahan positif dalam kehidupan para peserta sekali gus membantu melahirkan generasi wanita yang kuat, berdaya tahan dan berintegriti,” katanya.
Pelaksanaan program tersebut disokong oleh Alliance Islamic Bank dan Kop Mantap Berhad sebagai rakan strategik yang membantu menjayakan keseluruhan inisiatif.
Ia turut menerima sumbangan daripada Rockqueen, Dutch Lady, Gardenia, SLAE dan Nabeylla yang bersama-sama menyumbang dalam bentuk produk serta barangan.







