
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju mempertimbangkan pelepasan perolehan dana Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menampung perbelanjaan operasi pasukan keselamatan itu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara berkenaan dimaklumkan Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam pertemuan bersama pimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan dan ATM di Wisma Perwira, hari ini.
“Perdana Menteri memaklumkan beliau memahami soal kesiagaan dan operasi yang perlu diteruskan dan keputusan untuk membekukan perolehan perlulah dibuat secara berhati-hati yang pada akhirnya tidak menjejaskan operasi dan kesiagaan.
“Beliau bersetuju supaya perkara-perkara seperti itu boleh dipertimbang dan dikecualikan,” katanya pada sidang media selepas pertemuan itu sempena Program Ihya’ Ramadan.
Pada 16 Januari lepas, Anwar mengarahkan semua keputusan perolehan ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkait dengan isu rasuah dibekukan sementara sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.
Pembekuan itu dibuat berikutan kontroversi yang melanda ATM berkaitan isu rasuah dan salah guna kuasa membabitkan beberapa bekas pimpinan tertinggi dalam ATM.
Mohamed Khaled berkata, Perdana Menteri menekankan supaya semua proses perolehan dilaksanakan secara telus, selain menyokong usaha Kementerian Pertahanan memperkukuh tadbir urus khususnya dalam aspek perolehan.
Beliau berkata, Perdana Menteri turut menekankan kesiapsiagaan ATM perlu diperkasa selaras dengan perubahan geopolitik semasa di peringkat serantau dan global.
Dalam pertemuan itu juga katanya, kebajikan serta kesejahteraan anggota tentera termasuk penyediaan perumahan lebih selesa turut diberi perhatian





