
KUALA LUMPUR : Datuk Seri Hamzah Zainuddin memfailkan saman fitnah berjumlah RM100 juta terhadap pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Redzuan Yusof, berhubung dakwaan mengatur enam Ahli Parlimen parti itu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2023.
Saman tersebut difailkan Ahli Parlimen Larut itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 12 Januari lalu menerusi firma guaman Messrs Siddiq Azani & Co dengan menamakan Redzuan sebagai defendan.
Berdasarkan writ saman dan pernyataan tuntutan, Hamzah menuntut RM50 juta sebagai ganti rugi am selain masing-masing RM25 juta bagi ganti rugi teruk dan teladan.
Beliau turut memohon mahkamah mengenakan faedah lima peratus setahun ke atas jumlah penghakiman bermula dari tarikh keputusan sehingga bayaran diselesaikan sepenuhnya.
Selain menuntut ganti rugi, Hamzah turut memohon perintah mahkamah supaya Redzuan Yusof menarik balik kenyataan berkenaan serta membuat permohonan maaf terbuka tanpa syarat melalui media elektronik dan akhbar harian berbahasa Melayu mengikut terma yang dipersetujui pihaknya.
Hamzah mendakwa defendan gagal berbuat demikian berhubung kenyataan yang disiarkan sebuah akhbar pada 5 November 2025, yang menurutnya bersifat palsu, berniat jahat dan mencemarkan reputasinya sebagai Ketua Pembangkang serta pemimpin kanan Bersatu ketika itu.
Antara dakwaan dipertikaikan termasuk tuduhan beliau menekan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya melepaskan jawatan, mengatur enam ahli Parlimen parti itu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, selain mensabotaj parti.
Enam Ahli Parlimen yang disebut ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Menurut Hamzah, penyiaran meluas kenyataan tersebut melalui akhbar serta platform digital menyebabkan beliau terdedah kepada kritikan, cemuhan dan kebencian awam, selain menjejaskan keyakinan ahli parti serta masyarakat terhadap peranannya sebagai Ketua Pembangkang.
Susulan itu, beliau menghantar surat tuntutan kepada defendan pada 6 November tahun lalu. Namun, firma guaman Messrs Cheah Teh & Su yang mewakili Redzuan pada keesokan harinya menafikan bekas Ahli Parlimen Alor Gajah itu pernah mengeluarkan kenyataan seperti dipertikaikan.
Hamzah, yang juga bekas Timbalan Presiden Bersatu, dipecat daripada parti tersebut pada 13 Februari lalu.







