
KUALA LUMPUR: Tarif yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) setakat ini tidak memberi kesan kepada syarikat tempatan, sebaliknya hanya melibatkan syarikat negara itu yang beroperasi di Malaysia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, berdasarkan makluman Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), tarif 19 peratus di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-AS dikenakan terhadap syarikat AS yang berdagang dan melabur di negara ini.
“Setakat tinjauan kita, hampir tiada tarif dikenakan kepada syarikat Malaysia yang berdagang atau melabur di AS.
“Tarif itu dikenakan kepada syarikat AS yang beroperasi dan berdagang di negara kita,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) berhubung kerugian dialami syarikat Malaysia susulan pelaksanaan tarif tersebut.
Menurut Anwar, strategi perdagangan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump adalah untuk memberi tekanan kepada syarikat negara itu supaya kembali melabur di AS berbanding di luar negara.
“Strateginya adalah memaksa syarikat tersebut kembali melabur di AS, bukan di negara luar,” katanya.
Malaysia dan AS sebelum ini memeterai perjanjian perdagangan timbal balas semasa lawatan Trump ke Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN tahun lalu.
Perjanjian itu mengekalkan tarif 19 peratus terhadap barangan Malaysia, namun beberapa produk menikmati tarif sifar di bawah senarai rakan dagang bersama.
Pada Sabtu lalu, Mahkamah Agung AS dilaporkan memutuskan Trump melampaui kuasanya dalam melaksanakan tarif di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa.






