
HULU KLANG: Pelakon Amyza Aznan, 50, berasa pilu kerana tidak sempat menemani anak sulungnya, Allahyarham Andre Mikhail Khairil Idzhar, 20, yang meninggal dunia pada 10.15 malam tadi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kanser paru-paru tahap tiga.
Memetik laporan Berita Harian, Amyza reda dengan ketentuan Ilahi dan percaya pemergian anaknya itu adalah cara terbaik agar arwah pergi dalam keadaan tenang.
“Sejujurnya, saya sedikit ralat kerana tidak bersama dengannya ketika dia ‘pergi’. Andre menghembuskan nafas terakhir ketika saya pulang ke rumah untuk menyegarkan diri.
“Sebaik tiba di rumah dan selesai mandi, saya menerima panggilan memaklumkan paras oksigen Andre menurun. Memang saya ralat… tentu sahaja saya mahu berada di sisi dia, tetapi tiada rezeki,” katanya.
Amyza turut berkongsi, mungkin arwah tidak mahu dia melihat saat-saat terakhirnya kerana sedar dirinya seorang ibu yang clingy.
“Mungkin dia tak mahu saya melihat dia pergi. Dia takut saya tak boleh move on,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana di sini, hari ini.
Urusan pengebumian Allahyarham berlangsung dengan lancar, dihadiri 300 ahli keluarga dan kenalan yang memberi penghormatan terakhir.
“Alhamdulillah, urusan hari ini sangat mudah. Rezeki Andre Mikhail… segala urusan dipermudahkan dan ramai hadir memberikan doa serta sokongan,” katanya.
Menurut Amyza, Ramadan kali ini terasa sangat berbeza tanpa kehadiran anak sulungnya itu di sisi.
Dia mengakui ujian bertimpa-timpa sepanjang dua tahun kebelakangan ini benar-benar menguji kekuatannya sebagai ibu.
“Sudah tentu saya rasa perit. Tahun lalu, hanya Allahyarham Andre disahkan menghidap kanser.
“Saya diuji lagi tahun ini apabila anak kedua, Adrian Adam pula disahkan sakit. Tahun ini juga Andre tinggalkan saya. Memang perit, sangat perit,” katanya dalam nada sebak.
Amyza turut mengucapkan terima kasih kepada sokongan padu daripada rakan artis dan orang ramai sepanjang tempoh rawatan arwah.
“Saya terima banyak bantuan daripada rakan artis dan juga orang luar yang tidak saya kenali. Saya tahu semua ini bukan sebab saya, tetapi kerana Andre.
“Saya hanya menumpang kebaikan anak saya. Dia anak yang sangat baik malah tidak pernah membantah apa yang saya suruh.
“Dia juga merupakan abang yang bertanggungjawab dan tidak pernah bergaduh dengan adik-beradik,” katanya.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan pada 10.40 pagi tadi selepas urusan di Masjid Al-Khairiah AU3 bermula 8 pagi dengan bacaan Surah Yasin dan solat jenazah kemudian selesai dua jam kemudian.
Allahyarham adalah anak sulung daripada tiga beradik dan menghidap kanser paru-paru tahap tiga sejak setahun lalu.
Pada Februari tahun lalu, Amyza berkongsi berita duka apabila Andre disahkan menghidap penyakit tersebut.







