
KUALA LUMPUR: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bakal mengambil alih pengoperasian di dua pintu masuk utama di utara tanah air, iaitu Padang Besar dan Wang Kelian di Perlis, menjelang suku kedua tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pengambilalihan itu merupakan sebahagian daripada fasa kedua peluasan operasi AKPS, yang kini beroperasi secara rasmi di 22 lokasi pintu masuk sejak 1 Januari 2025.
Pintu masuk pertama yang diuruskan AKPS ialah Rantau Panjang di Kelantan.
“Setakat ini, AKPS menunjukkan prestasi membanggakan dengan nilai rampasan melebihi RM80 juta dalam tempoh setahun operasi perintis,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Baharuddin Ahmad mengenai tahap kekuatan AKPS di sempadan Perlis–Thailand, khususnya dalam usaha memerangi jenayah rentas sempadan dan penyeludupan.
Mengulas keperluan sumber manusia, Saifuddin berkata kerajaan telah meluluskan pengambilan 200 bekas tentera untuk mengisi perjawatan baharu di AKPS sebagai langkah permulaan dalam masa terdekat.
Beliau menekankan pemilihan bekas tentera, terutamanya mereka yang bersara pada usia 38 tahun, sebagai strategi menang-menang kerana mereka sudah mempunyai disiplin dan kemahiran sedia ada, sekali gus menjimatkan kos latihan.
“Mereka akan bermula dengan gaji RM2,900, di samping pencen sedia ada. Kita mahu memanfaatkan kemahiran dan produktiviti mereka untuk keselamatan negara,” katanya sambil menambah bekas pesara polis turut akan dimanfaatkan untuk pengambilan perjawatan baharu pada masa akan datang.
Beliau berkata AKPS turut bersedia untuk mengawal selia laluan Sistem Transit Pantas (RTS) antara Bukit Chagar, Johor Bahru dengan Woodlands, Singapura yang dijangka beroperasi pada Oktober ini.
Sebanyak 640 jawatan baharu diluluskan khas untuk pengoperasian RTS bagi menguruskan jangkaan pergerakan 10,000 penumpang setiap jam di laluan berkenaan.
Saifuddin berkata, sehingga kini, kekuatan anggota AKPS berjumlah 6,883 orang melalui kaedah pindah butiran jawatan, namun kementerian menyasarkan jumlah ideal sebanyak 13,721 anggota pada masa hadapan.





