
KUALA LUMPUR: Sayap Pemuda Pas mencadangkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon perdana menteri yang seterusnya.
Dalam satu hantaran di Facebook, Pemuda Pas menekankan Menteri Besar Terengganu itu merupakan seorang teknokrat yang tenang dan fokus kepada pencapaian nyata, berbeza daripada ahli politik yang gemar berdrama.
“Pendekatan ini amat disenangi golongan atas pagar yang sudah muak dengan polemik dan drama politik yang berpanjangan.
“Andai kata Dr Ahmad Samsuri dicadangkan sebagai calon Perdana Menteri suatu hari nanti, apa pendapat rakyat Malaysia semua? Cuba komen,” menurut kenyataan itu hari ini.
Pemuda Pas turut menegaskan Ahmad Samsuri atau mesra dipanggil Dr Sam itu bukan sahaja berpengalaman dalam politik tetapi memiliki latar belakang akademik cemerlang.
Beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Aeroengine Ignition and Combustion (High Altitude Engine Failure) daripada School of Mechanical Engineering, University of Leeds pada 2001, selain Ijazah Sarjana Sains dalam Combustion and Energy dari universiti yang sama pada 1996.
Merujuk pencapaian beliau sebagai Menteri Besar, Pemuda Pas berkata, Terengganu menunjukkan perkembangan memberangsangkan sejak 2018, dengan berjaya menarik pelaburan bernilai RM14.86 bilion merentasi pelbagai sektor.
Prestasi negeri itu berterusan sehingga Jun lalu apabila mencatatkan pelaburan sebanyak RM6 bilion, angka tertinggi dalam sejarah bagi tempoh separuh tahun pertama.
“Kadar pengangguran juga menurun kepada 2.8 peratus, terendah dalam tempoh lebih 10 tahun bagi suku kedua 2025.
“Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mencatatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Terengganu berkembang 4.5 peratus kepada RM39.9 bilion pada 2024 berbanding 2.3 peratus pada tahun sebelumnya.
“Sektor pembinaan negeri melonjak 17.5 peratus pada 2024 berbanding hanya 1.7 peratus setahun sebelumnya sekali gus menunjukkan aktiviti pembangunan fizikal dan pelaburan yang semakin rancak,” menurut kenyataan itu.







