
KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi memaklumkan tiada keputusan dibuat terhadap permohonan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk dilepas dan dibebaskan daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah serta pengubahan wang haram (AMLA) melibatkan dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor ketika prosiding berkata, mahkamah tidak akan membuat sebarang keputusan sehingga Mahkamah Rayuan memutuskan permohonan kebenaran semakan kehakiman didengar.
Permohonan tersebut difailkan Majlis Peguam bagi membolehkan bukti baharu dikemukakan untuk mencabar keputusan Peguam Negara (AG) yang sebelum ini menghentikan prosiding kes rasuah Yayasan Akalbudi.
Menurut beliau, sebarang keputusan yang bakal dibuat oleh Mahkamah Rayuan akan memberi kesan langsung serta mengikat keputusan dalam kes berkenaan.
Jelasnya, Mahkamah Tinggi tidak bertanggungjawab untuk merampas bidang kuasa mahkamah atasan.
Beliau menambah, perkara tersebut turut melibatkan isu berkepentingan awam yang memerlukan penentuan serta pertimbangan oleh mahkamah pada peringkat lebih tinggi.
“Justeru, mahkamah tidak membuat keputusan lagi walaupun pihak pendakwaan telah memberikan petunjuk bahawa mereka tidak membantahnya mengenai permohonan Ahmad Zahid.
“Kami akan menunggu keputusan permohonan kebenaran semakan kehakiman Badan Peguam, pada 8 April depan.
“Jika mahkamah ini membuat keputusan berhubung permohonan Ahmad Zahid, maka permohonan kebenaran Badan Peguam, akan menjadi akademik seterusnya, panel Mahkamah Rayuan mungkin tidak perlu mendengarnya lagi,” katanya.
Beliau kemudiannya menetapkan 24 April depan untuk pendengaran permohonan Ahmad Zahid supaya diberi perintah DNA atas 47 kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.







