
KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin menjadi antara lima individu dilantik menyertai Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp).
Pelantikan berkuat kuasa pada 6 Februari lalu, merupakan usaha berterusan HRD Corp untuk memperkukuh institusi bagi memastikan dana levi yang diamanahkan oleh majikan diuruskan dengan integriti, ketelusan dan impak yang dapat diukur.
Empat ahli lembaga pengarah lain yang dilantik ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INCEIF University serta pakar di peringkat antarabangsa dalam kewangan Islam, Datuk Dr. Mohd Azmi Omar dan pemimpin korporat dengan pengalaman luas dalam sektor pembuatan serta pasaran eksport, Muhammad Akmar Kasim.
Selain itu, bekas pemimpin kanan Tenaga Nasional Berhad dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam transformasi utiliti, Ir. Parameswaran A. Shanmuganathan dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Rusli Jaafar.
Watikah Pelantikan disampaikan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan di Wisma HRD Corp di sini semalam.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp, Datuk Shamir Aziz.
Ramanan berkata, gabungan pengalaman luas dalam sektor perniagaan, akademik dan profesional diyakini akan memperkukuh kepimpinan serta struktur tadbir urus HRDCorp.
“Langkah ini bukan sahaja memperkemas tadbir urus organisasi malah memperhebat usaha memperkasa pembangunan bakat dan kemahiran tenaga kerja negara.
“Ia seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI ke arah ekonomi yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing,” katanya menerusi laman Facebook.







