
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia bersetuju membantu skuad Malaysia dalam kempen Piala Thomas 2026.
Dalam kenyataan Team LZJ, persetujuan dicapai antara pemain berusia 27 tahun itu dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menyertai skuad kebangsaan ke pusingan akhir di Horsens, Denmark bermula 24 April hingga 3 Mei depan.
“Zii Jia sudah mencapai persetujuan dengan BAM untuk menjadi sebahagian daripada skuad Malaysia ke Piala Thomas 2026,” kata kenyataan itu.
Zii Jia turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan BAM khususnya Presiden, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Pengerusi Jawatankuasa Prestasi, Datuk Seri Lee Chong Wei atas kepercayaan diberikan kepadanya untuk membantu misi negara.
Beliau menyifatkan kepercayaan itu sebagai satu penghormatan besar dan berharap kerjasama berkenaan membuka lembaran baharu hubungan antara dirinya dan badan induk itu.
“Kami berharap ini menjadi titik permulaan baharu buat Zii Jia dan BAM untuk bergerak bersama demi kepentingan badminton Malaysia.
“Zii Jia juga bersetuju untuk mengetepikan bayaran hak imej bagi mewakili negara pada kejohanan akan datang sebagai tanda komitmen dan dedikasinya kepada Malaysia,” menurut kenyataan itu.








