
KUALA LUMPUR: Penjawat awam dan pesara kerajaan akan menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) bagi membantu persiapan menjelang perayaan Aidilfitri pada 13 Mac depan.
Menurut kenyataan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), bantuan sebanyak RM500 diberikan kepada pegawai perkhidmatan awam yang layak manakala pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen menerima RM250.
Katanya, bayaran RM500 itu melibatkan pegawai Perkhidmatan Awam Gred 15 dan ke bawah atau setara merangkumi lantikan tetap, sementara serta kontrak (Contract of Service dan Pekerja Sambilan Harian).
“Selain itu, pegawai yang bercuti bergaji penuh, separuh gaji dan tanpa gaji, pegawai yang dipinjamkan termasuk ke agensi yang diasingkan pengurusan saraannya turut layak menerima bantuan berkenaan.
“Bagi pegawai yang dipinjamkan pula, BKK tersebut akan dibayar oleh agensi yang meminjam pegawai terbabit,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, jelasnya, personel MySTEP yang masih berkhidmat dan guru interim tidak terkecuali akan menerima bantuan itu.
Katanya, pemandu yang dilantik sendiri oleh pegawai Gred Utama B dan ke atas serta Gred Khas A dan ke atas yang layak pemandu tetapi tidak disediakan pemandu oleh jabatan termasuk dalam senarai penerima.
“Bantuan ini turut melibatkan pemandu yang dilantik sendiri oleh anggota pentadbiran, hakim dan pesuruhjaya kehakiman.
“Pemberian BKK akan dikecualikan daripada cukai pendapatan selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 127(3A) Akta Cukai Pendapatan 1967,” kata kenyataan itu lagi.





