
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), Nidzam Jamil meletak jawatan hari ini.
Dalam kenyataan NSFC, Nidzam sudah menyerahkan surat peletakan jawatan dan berkuat kuasa serta-merta.
“Pihak kelab ingin menzahirkan ucapan terima kasih atas segala jasa dan sumbangan yang telah diberikan oleh beliau sepanjang bersama pasukan daripada awal musim ini.
“Dalam mendepani fasa transisi ini, penolong ketua jurulatih, K Rajan telah diberi kepercayaan penuh untuk memimpin pasukan sebagai ketua jurulatih Interim sehingga makluman selanjutnya.
“Fokus utama kelab dan barisan kejurulatihan pada ketika ini adalah untuk mengembalikan kestabilan serta moral pemain bagi mengharungi baki perlawanan musim ini,” kata kenyataan itu.
NSFC turut menyeru seluruh penyokong untuk terus memberikan sokongan padu kepada skuad Jang dalam mengharungi cabaran tersebut bersama-sama.







