
KUALA LUMPUR: Majlis Iftar Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menjadi platform mengeratkan ukhuwah dalam kalangan warga kerja kementerian, agensi serta para pemegang taruh di Putrajaya hari ini.
Program tahunan berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Mufti Wilayah Persekutuan (WP), Ahmad Fauwaz Fadzil Noor yang telah menyampaikan tazkirah selama 30 minit kepada para tetamu.
Melalui penyampaian yang ringkas dan mudah difahami, Ahmad Fauwaz menjelaskan Ramadan merupakan medan terbaik untuk memperbaiki diri serta membentuk peribadi yang lebih baik.
Dalam kenyataan KUSKOP, penganjuran Majlis Iftar itu mencerminkan komitmen kementerian dalam menghayati nilai Ramadan melalui pengukuhan kebersamaan dan keprihatinan sosial.

“Pada majlis tersebut, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong turut menyampaikan sumbangan daripada KUSKOP dan agensi di bawahnya berjumlah RM18,000.00 kepada Rumah Bakti Al Kausar.
“Beliau turut menyerahkan sumbangan wang tunai RM 10,000.00 serta barangan keperluan asas termasuk makanan kepada 20 orang anak-anak yatim dari rumah amal terbabit.
“KUSKOP akan terus memperluas peranannya dalam memperkasa usahawan dan koperasi demi meningkatkan kesejahteraan masyarakat.” kata kenyataan itu.





