
KUALA LUMPUR : Peguam kepada ahli perniagaan, Datuk Mahadi Badrul Zaman yang berdepan pertuduhan menjalankan perniagaan sekuriti tanpa lesen, memohon agar anak guamnya dibebaskan dengan jaminan kerana bimbang janggutnya akan dicukur sekiranya ditahan di penjara sehingga perbicaraan selesai.
Permohonan itu dikemukakan peguamnya, Datuk Mohd Zamri Mohd Idrus yang mewakili suami kepada penyanyi dan aktivis, Heliza Helmi, 43, ketika sesi rayuan di hadapan Hakim Azrul Darus dan Norma Ismail.
“Jika jaminan tidak dibenarkan dan Mahadi dipenjarakan, janggutnya yang panjang mungkin akan dipotong, ini akan memberi kesan kepada anak guam.
“Saya mohon mahkamah ambil kira, Mahadi perlu menanggung ibunya yang menghidap kanser dan keluarga mentua,” kata peguam.
Mohd Zamri memaklumkan anak guamnya yang terlibat membantu mengendalikan jemaah umrah sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, sekali gus menunjukkan beliau tidak berisiko melarikan diri.
Namun begitu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Sekuriti (SC), Danial Imran Nasaruddin, memohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam serta tahap keyakinan pelabur terhadap pasaran sekuriti sebelum mempertimbangkan permohonan jaminan kepada tertuduh.
Beliau berkata, pendakwaan mencadangkan mahkamah mengenakan jumlah jaminan sebanyak RM250,000 dengan dua penjamin.
“Ia termasuk syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SC sekali setiap bulan,” katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan Mahadi diikat jamin dengan jumlah masing-masing sebanyak RM50,000 melalui seorang penjamin termasuk syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan.
Sebelum ini, Mahadi, 43, didakwa sebagai wakil syarikat AUF MBZ Consortium PLT menjalankan berniaga dalam sekuriti sedangkan syarikat itu bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan tidak berdaftar sebagai perniagaan sekuriti.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah villa, di Sunway South Quay, Subang Jaya antara 14 Jun 2021 dan 15 Februari 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dibaca bersama subseksyen 367(1) akta sama dan boleh dihukum bawah subseksyen 58(4) akta serupa.
Sekiranya disabitkan atas kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10 juta atau dipenjarakan selama tidak melebihi 10 atau kedua-duanya.







