
BATU PAHAT: Seorang pelajar lelaki tingkatan satu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat, Johor bagi tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar perempuan orang kurang upaya (OKU) dalam kelas di sebuah sekolah menengah bulan lalu.
Pelajar lelaki berusia 13 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dan mengaku bersalah di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berusia 16 tahun yang berkerusi roda pada jam 12 tengah hari, 29 Januari lalu.
Seksyen 14(a) AKKSTKK memperuntukkan hukuman kepada pesalah juvana termasuk bon berkelakuan baik, pematuhan syarat yang dikenakan serta perintah menjalani hukuman di Sekolah Henry Gurney.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dan menetapkan 13 Mei ini untuk sebutan laporan akhlak, fakta dan perintah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.







