
KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainuddin, enggan mengulas mengenai kedudukannya sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat.
“Nanti,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Rakyat selepas menghadiri taklimat oleh Jabatan Hal Ehwal Undang-Undang, hari ini.
Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang berada bersama Hamzah ketika itu, berkata keputusan berhubung perkara berkenaan akan dibuat pada satu tarikh lain.
“Saya akan jawab soalan itu. Kita sudah memuktamadkan perkara pada peringkat Perikatan Nasional (PN). Itu yang paling utama. Perkara lain akan menyusul kemudian.
“Kita tidak boleh membuat semua keputusan sekali gus. Yang penting, kita sudah melantik Pengerusi PN,” katanya.
Timbalan Presiden Bersatu, Radzi Jidin mengulangi kenyataan Awang dan meminta media bersabar.
Bekas ahli Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, pula menegaskan Hamzah masih kekal sebagai ketua pembangkang.
“Keputusan mengenai siapa sepatutnya menjadi Ketua Pembangkang perlu dibuat oleh ahli Parlimen sendiri.
“Kita akan lihat apa yang diputuskan oleh PN, namun saya percaya Pengerusi PN baharu, Ahmad Samsuri Mokhtar akan membuat keputusan terbaik,” katanya.
Ditanya sama ada pemimpin baharu bagi jawatan itu akan datang daripada Pas, Wan Saiful menjelaskan pencalonan akan dibuat oleh parti itu.
“Namun siapa yang mereka pilih untuk dicalonkan terpulang kepada Pas. Sebagai contoh, Hamzah sebelum ini dicalonkan oleh Pas,” katanya.
Beliau turut menegaskan, blok pembangkang yang membabitkan 18 Ahli Parlimen daripada Bersatu akan terus menyokong Hamzah.







