
KUALA LUMPUR: Mana-mana bekas Perdana Menteri yang sudah berkhidmat selama 10 tahun tidak lagi boleh dilantik semula ke jawatan itu sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri dikuatkuasakan kelak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata cadangan pindaan itu menetapkan had berdasarkan jumlah tahun perkhidmatan sebenar sebagai Perdana Menteri, bukannya mengikut tempoh penggal Parlimen.
Katanya, mana-mana individu yang ingin menyandang jawatan berkenaan selepas ini tidak boleh berkhidmat melebihi 10 tahun secara keseluruhan, termasuk mengambil kira tempoh yang telah dilalui sebelum pindaan berkuat kuasa.
“Had ini dikira berdasarkan tahun perkhidmatan. Ia juga mengambil kira tempoh terdahulu. Maknanya, ia dikira ke belakang,” katanya pada sesi taklimat khas di Parlimen hari ini.
Beliau memberi contoh, jika Perdana Menteri ketika ini, Anwar Ibrahim, memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan dilantik semula, baki tempoh yang boleh disandang adalah berdasarkan tahun yang masih berbaki daripada had 10 tahun tersebut.
Katanya, perkara sama terpakai kepada bekas Perdana Menteri lain seperti Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob sekiranya mereka kembali memegang jawatan itu pada masa hadapan.
“Jika sudah berkhidmat beberapa tahun sebelum ini, maka hanya baki tempoh sahaja yang tinggal, bukannya diberikan 10 tahun baharu,” jelasnya.
Azalina berkata, pindaan tersebut merupakan sebahagian komitmen kerajaan dalam menunaikan janji manifesto PRU lalu, yang antara lain menyentuh cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri sama ada kepada dua penggal atau 10 tahun.
Namun, beliau menyatakan Perlembagaan Persekutuan boleh dipinda pada masa hadapan sekiranya kerajaan yang memerintah mempunyai sokongan majoriti dua per tiga di Parlimen.
“Kerajaan seterusnya, jika mempunyai majoriti dua pertiga, boleh meminda semula Perlembagaan termasuk berhubung tempoh jawatan Perdana Menteri. Itu adalah prerogatif mereka,” katanya.
Terdahulu, Azalina membentangkan dua RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 yang turut melibatkan cadangan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, selain pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri.
Beliau menjelaskan pindaan berkaitan had tempoh itu hanya membabitkan jawatan Perdana Menteri dan tidak melibatkan jawatan Ketua Menteri atau Menteri Besar kerana ia tertakluk kepada bidang kuasa negeri.





