
KUALA LUMPUR: Seramai 57,910 daripada 2.12 juta murid yang menjalani saringan di seluruh negara dikenal pasti sebagai pembawa penyakit talasemia.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah itu membawa kepada prevalens pembawa talasemia di seluruh negara kepada paras matriks 59.1 per 1,000 murid yang disaring.
“Prevalens pembawa talasemia tertinggi direkodkan dalam kalangan masyarakat Melayu, diikuti Kadazan-Dusun dan Cina.
“Negeri yang mempunyai kadar pembawa talasemia (per 1,000 murid disaring) ialah Kedah (103), Pahang (90.7), Terengganu (82.1) dan Kelantan (75),” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berhubung status pencapaian program saringan talasemia di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Dr Dzulkefly, seramai 9,554 pesakit talasemia direkodkan di negara ini berdasarkan data rasmi Laporan Tahunan Daftar Talasemia Malaysia 2023, yang diperoleh daripada 102 hospital KKM dan dua hospital universiti terbabit.
Dari aspek klinikal, katanya, penghidap dikategorikan mengikut keperluan pemindahan darah iaitu pesakit bergantung kepada pemindahan darah (TDT) dan pesakit tidak bergantung kepada pemindahan darah (NTDT).
Dr Dzulkefly berkata, anggaran kos sepanjang hayat bagi setiap pesakit TDT bermula dari usia kanak-kanak hingga 40 tahun adalah AS$606,665 (hampir RM3 juta), merangkumi kos penjagaan kesihatan 92.5 peratus dan 7.5 peratus ditanggung pesakit dan keluarga.





