
SHAH ALAM: Mahkamah Majistret di sini hari mengenakan denda RM100 terhadap seorang lelaki selepas dia membaling kon ke arah kenderaan lain di Plaza Tol Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sabtu lalu.
Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman mengenakan hukuman itu selepas tertuduh, K. Kanapathi, 35, yang bekerja sebagai pemandu lori, mengaku bersalah bagi pertuduhan berkelakuan kurang sopan dengan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang lelaki warga asing.
Mahkamah turut menasihatkan tertuduh supaya mengawal emosi dan bersikap lebih bertolak ansur ketika memandu bagi mengelak kejadian sama berulang pada masa hadapan.
Mengikut pertuduhan, Kanapathi didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Daniel Owen Flower, 54, dengan niat mengaibkan mangsa sehingga boleh membangkitkan kemarahan serta mengganggu keamanan awam.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan pukul 5.25 petang di plaza tol berkenaan.
Sehubungan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100 jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Khawarizmi Azfar memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat awam.
Namun, peguam bela, Muhamad Saifullah Muhamad Azmi dan M. Partiben yang mewakili Kanapathi merayu supaya mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan mengambil kira tertuduh mempunyai tanggungan termasuk dua anak yang masih kecil.
Menurut pihak pembelaan, kes itu merupakan kesalahan pertama tertuduh dan dia menzahirkan kekesalan serta berjanji untuk lebih berhati-hati pada masa hadapan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM100 dan tertuduh membayar denda tersebut.
Sebelum ini, tular dalam media sosial rakaman video memaparkan seorang pemandu bertindak agresif dengan memberhentikan kenderaannya di plaza tol sebelum membaling kon serta mengeluarkan kata-kata mengaibkan terhadap pemandu lain.






