KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut dalam kebakaran di tingkat 26 sebuah kondominium di Mont Kiara, di sini semalam.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, panggilan kecemasan diterima melalui sistem NG999 berhubung kebakaran di kondominium berkenaan.
Operasi pemadaman menghadapi kesukaran kerana sistem pencegah kebakaran bangunan didapati tidak berfungsi dengan baik.
JBPM terpaksa menggunakan dua pam angkut dan pam jentera bagi menyalurkan air ke unit rumah terbabit.
Mangsa ditemukan di balkoni dengan tahap kelecuran 100 peratus dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi.
“Api dapat dipadamkan sepenuhnya pada 2.03 pagi tadi dengan keluasan terbakar kira-kira 1,500 kaki persegi dan kemusnahan 100 peratus,” kata JBPM dalam kenyataan rasmi.
Pasukan bomba masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran.
Mangsa dipercayai seorang penghuni unit berkenaan dan identitinya masih dalam proses pengesahan.
Dalam pada itu, JBPM menasihatkan penduduk kondominium lain untuk memeriksa sistem pencegah kebakaran dan mengambil langkah keselamatan bagi mengelakkan insiden sama berulang.
